Gembira


Nota untuk diri, anakku Iyman Amalea dan Ali Ilman. Bergembiralah kerana Allah bersama kita, setiap detik dan setiap masa.

Sumber : http://www.muhdkamil.org/pensyarah_mki

  • GEMBIRA

    Duhai sahabat ku,
    Hati berperasaan dan punca tingkahlaku yang lain. Kita biasa menyebut, "awak gembira, bercahaya wajah". Rasa gembira datangnya dari hati dan tersalur ke wajah.
    Mereka yang hampir – kaum keluarga, sahabat handai dan rakan sejawat – juga merasai tempias aroma kegembiraan tersebut. Ia berlaku secara semulajadi dan tidak dapat disorok-sorok. Tutur kata menggambarkan rasa jiwa gembira. Senyum manis terukir di bibir sehinggakan pergerakan tubuh jadi begitu cergas.
    Bayangkan bagaimana orang tua hilang rasa kurang bermaya apabila anak-anak muncul pada hujung minggu. Ada yang mampu memasak makanan kegemaran anak-anak walaupun mereka tidak lalu makan pada hari-hari yang lain. Tingkah laku luar biasa ini berpunca pada hati yang gembira.
    Ada masa kegembiraan dapat menghapuskan sifat kedekut, "saya gembira kerana mendapat khabar ini … jom saya belanja nasi briyani". Ia jarang-jarang berlaku. Malah kelihatan hampir mustahil untuk sitangkal jering. Namun kegembiraan jiwa mahu diraikan bersama.
    Bergembira lawannya berdukacita atau bersedih. Perilaku mereka yang bersedih juga seragam. Ia ternampak di wajah, tutur kata, bibir sehingga riak rasanya tersadung kepada mereka yang hampir. Malah kesedihan mereka boleh menyusahkan bukan setakat diri sendiri.
    Manusia – saya fikir – sepatutnya mampu meraikan rasa gembira dan berdukacita dengan cara positif dan menarik. Kaedahnya mudah. Paling tidak untuk difikirkan.
    Pertama, kita perlu akui dan menerima hakikat betapa dunia merupakan pentas ujian. Allah SWT mahu membezakan manusia kelompok beriman atau pendusta.
    Kedua, setiap perkara yang dilakukan oleh manusia wajib membawa kita kepada tujuan pokok kewujudan manusia, menyembah dan beramal ibadat kepadaNya. Malah rasa gembira dan dukacita berpunca sama. Namun ia beraturan.    
    Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis;
    (Surah an-Najm: 43).
    Dulu acap kali saya bersedih. Kesedihan ini membawa kepada sifat lain – misalnya - kekecewaan. Rasa hati ini muncul kerana tidak dapat memahami konsep kehidupan dunia. Jika disebut menggunakan bahasa yang tidak dilunakkan, maka saya tidak berilmu dan jahil. Malah hati terlalu mengikut perasaan keduniaan melampau.
    Dunia kelihatan terlalu penting untuk difikirkan. Ia tidak boleh diremeh atau dipermudah agar kedukaan disambut sebagai tidak apa. Kesemuanya mustahak sehingga apa yang tidak sesuai dengan kehendak sendiri menerima rasa dan tekanan tersebut.
    Wahai sahabatku,
    Saya sentiasa mengingati kisah kami – rakan yang hampir – berbincang tentang proses kenaikan pangkat – pensyarah kepada pensyarah kanan – pada 1995. Usia kami hampir sebaya. Sepatutnya kami boleh dinaikkan pangkat bersama. Penetapan Allah SWT tidak begitu. Usia pekerjaan saya tidak cukup dua minggu untuk membolehkan saya memohon kenaikan pangkat berbanding rakan-rakan yang lain.
    Ringkaskan cerita, rakan-rakan ini berjaya dengan kenaikan gaji signifikan di kala usia muda. Benar, saya bersedih hati dengan nasib menimpa diri walaupun tiada siapa yang perlu dipersalahkan.
    Maksud saya, hati manusia terlalu bodoh untuk berasa gundah gulana terhadap isu yang tidak sepatutnya difikirkan. Begitulah manusia diberi otak tetapi tidak mampu berfikir dengan rasional. Saya tidak mengata sesiapa kecuali diri sendiri.
    Saya pujuk diri. Allah ya Allah … tahun hadapan akan sampai jua. Namun – benarlah – ia tidak semudah itu. Bukankah Allah SWT menyatakan,
    Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempit (rezeki itu) baginya, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
    (Surah al-Ankabut: 62).
    Rezeki tahun hadapan tidak muncul. Dunia gawat. Kesemua proses kenaikan pangkat dibekukan. Kami sekeluarga pula berada nun jauh di United Kingdom kerana melanjutkan pelajaran di peringkat PhD. Ia juga satu rezeki. Berapakah nilai kos pengajian ini? Lebih setengah juta setelah mengambilkira pelbagai sudut.
    Namun kekecewaan rezeki tidak dapat naik pangkat melebihi kegembiraan rezeki menyambung pelajaran di Luar Negara. Apa yang ada di tangan tidak kelihatan. Nun yang jauh dipandang. Malah saya tidak melihat begitu ramai rakan sejawat kecewa apabila biasiswa ke Luar Negara turut dibekukan.
    Menarik.
    Tiga tahun begitu. Namun dalam tempoh tersebut Allah SWT telah banyak memberi rezeki – misalnya – rezeki cepat habis pengajian, keluarga tidak dipanggil pulang kerana gawat, Roza memperoleh pekerjaan yang gajinya ribuan ringgit dan kelahiran anak ketiga – Amirul Imran – serta rezeki kesihatan.
    Kesemuanya – jika dihitung –tentu sekali jauh lebih baik daripada kenaikan pangkat pensyarah kanan. Namun sifat tamak manusia tidak begitu. Apa yang tercicir itulah yang masih bermain-main di fikiran. Malah saya tidak pula mahu membandingkan dengan rakan sejawat yang telah dianugerah kenaikan pangkat tetapi gagal pengajian di peringkat PhD. Sepatutnya … ujian itu lebih besar untuk dipikul.
    Hakikatnya, Allah SWT sentiasa mendengar rasa hati hambaNya. Tentu sekali saya jadi sebak dan terharu apabila sebelum berangkat pulang, universiti telah menganugerahkan jawatan pensyarah kanan meskipun lewat lebih tiga tahun mengikut ukuran masa manusia.
    Tiba-tiba … enam bulan kemudian kami semuanya – pemegang jawatan pensyarah kanan – dihadiahkan pula jawatan profesor madya sempena pertukaran nama Institut Teknologi MARA kepada Universiti Teknologi MARA. Lalu saya dan rakan-rakan yang hampir kembali berjawatan sama.
    Barangkali jika itu yang saya mahu – samada jawatan, darjat, nama atau kuasa – maka Allah SWT memberinya pada ketika dan masa yang sesuai. Nama bermula dengan pangilan Dr … bergelar Prof Madya … dan dilantik menjadi Dekan Fakulti.
    Kegilaan dunia tidak berakhir di situ. Dua tahun kemudian … saya telah dianugerahkan jawatan Profesor. Rakan yang sama juga membuat permohonan tetapi gagal. Begitulah aturan kehidupan yang perlu saya amati. Pada ketika itu, secara berseorangan saya berada di hadapan.
    Namun kesannya sangat signifikan.
    Pada saat dan ketika inilah Allah SWT menampar hati dan perasaan manusia bodoh dan dungu ini agar tidak mencampuri urusan rezeki dunia dengan berasa sedih, kecewa atau marah. Rezeki milikNya.
    Ia tidak perlu rasa berdukacita. Bukankah Allah SWT telah nyatakan,
    Dialah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Dia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut peraturan itu); sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
    (Surah Asy-Syuraa: 12).
    Saya bersyukur kerana jawatan profesor pada usia muda tidak membawa saya kepada satu perasaan yang sering di sebut Allah SWT. Manusia boleh jadi takbur, angkuh dan riyak dengan sedikit anugerahNya. Entah mengapa … hati jadi sayu dan sebak. Lalu itulah menjadi penyebab untuk saya menunaikan fardhu haji bagi mengucapkan rasa syukur di atas segala kisah yang telah saya lalui.
    Kedukaan dan kesedihan akan sentiasa ada di hati jika tidak ditangani dengan hati-hati. Ia bukan soal kaya atau miskin, berpangkat atau tidak, berkuasa atau tidak berkuasa. Ia soal hati. Cuma bezanya, dukacita orang kaya berbeza dengan kesedihan simiskin. Ia berbeza dengan nilai kegembiraan yang hakiki. Ia nyata mempunyai rasa dan nilai yang sama di sisi Allah SWT.
    Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
    (Surah Yunus: 26)
    Banyak perkara yang telah saya pelajari dalam tempoh 10 tahun terakhir kehidupan. Kedukaan atau kesedihan silih berganti hadir. Namun ia boleh dilupuskan dengan keyakinan dan kebergantungan kepada Allah SWT.
    Kaedahnya sama dalam semua keadaan …. solat dan sabar! Bangunlah pada 1/3 malam tersisa mengadu kepadaNya tanpa segan-silu. Sungguh, Dia Maha Mendengar lagi Maha Penyayang. Malah Dia sangat hampir untuk menukar rasa duka kepada rasa gembira.
    Hakikatnya …. dunia kelihatan tidak terlalu mustahak. Malah ia hanyalah singgahan sementara yang terlalu singkat. Tiada istilah berdukacita atau kebimbangan bagi mereka yang memahami.
    Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.
    (Surah Yunus: 26)
    Kami mohon keampunanMu ya Allah.

Leave A Comment