Pastinya DIA Maha Mendengar

Adakalanya 24 jam sehari ditunggu-tunggu bila akan berakhir. Setiap detik yang berlalu terasa begitu lama. Adakalanya pula, 24 jam seakan-akan tidak cukup. Sampaikan hendar tidur pun terasa begitu rugi sehingga mata dan badan pun sebenarnya sudah tidak mampu menahan rasa kantuk di mata. Tersengguk-sengguk di depan komputer ketika sedang cuba menyambung kerja atau terlepas telefon dari genggaman ketika sedang cuba menjawab pesanan di whatsapp. 

Begitulah kehidupan, kadang-kadang kita rasa gembira, kadang-kadang diulit rasa sedih. Kadang-kadang rasa rajin teramat, kadang-kadang malasnya sampai rasa nak ketuk kepala sendiri. 

Ada masanya terasa rindu arwah abah dan emak. Namun tidak mahu dikenang-kenang keterlaluan kerana ia sering akan mengakibatkan hujan turun tanpa ada bunyi guruhnya. Sibukkan diri dengan pelbagai perkara dari cadarnya, tadikanya, reevonya, kelas blognya, tekan-tekannya, thevocketnya dan kerja-kerja hakikinya. Namun, Allah Maha Mendengar, apabila di saat kerinduan melampau, apabila diselak al-Quran, dengan tidak semena-mena tiba bacaan ke ayat ini.


        وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا


Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." al-Isra' (24).

Terkedu. Bukankah doa anak yang solehah itu Allah janjikan akan sampai kepada kedua orang tuanya? Jika dulu semasa hayat mereka tidak mampu memberikan ribuan ringgit setiap bulan, kini setiap masa boleh berdoa agar Allah merahmati arwah abah dan emak. Subhanallah, Maha Suci Allah.

Kuncinya hanya dengan menjadi anak yang solehah dan berdoalah. 

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Penyayang. 

Comments
One Response to “Pastinya DIA Maha Mendengar”
  1. noli says:

    Al-Fatihah buat yang tersayang yang telah pergi dahulu

Leave A Comment